Putrajaya: Taktik licik segelintir pengimport memanipulasi dokumen, mengisytiharkan nilai barangan lebih rendah daripada harga sebenar dan menggunakan kod tarif tidak tepat bagi mengelak atau mengurangkan pembayaran duti dan cukai import menyebabkan kerajaan berdepan risiko ketirisan hasil jutaan ringgit.
Lebih membimbangkan kegiatan itu bukan sekadar membabitkan pemalsuan invois, malah ada pengimport menggunakan dua set invois berbeza, mengurangkan pengisytiharan berat dan kuantiti barangan serta menyembunyikan barangan bernilai tinggi di sebalik muatan lain bagi mengaburi pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, segelintir pengimport menggunakan pelbagai modus operandi untuk mengelak atau mengurangkan pembayaran duti dan cukai semasa proses pengimportan.









