WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam mempertimbangkan semula pendiriannya untuk meneruskan ancaman melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran.
Difahamkan, beliau meragui rancangan untuk melancarkan serangan baharu, sambil menyatakan kemungkinan perjanjian dengan Tehran dapat dicapai.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Trump beberapa kali menyatakan kemungkinan serangan ke atas Iran disambung semula selepas pilihan raya pertengahan penggal AS yang berlangsung Selasa.
Bagaimanapun, selepas menyampaikan ucapan di Washington Reflecting Pool semalam, beliau memberi petunjuk bahawa tindakan itu mungkin tidak diteruskan.










