KUALA LUMPUR: Prosiding inkues insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, yang mengorbankan tiga individu pada 24 November tahun lalu, bukan sengaja dilewatkan, sebaliknya penetapan tarikhnya tertakluk kepada proses dan pengurusan kes oleh pihak mahkamah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 20 Julai lalu memutuskan supaya prosiding inkues itu diadakan selepas meneliti kertas siasatan serta keseluruhan keterangan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, keputusan itu dibuat susulan siasatan menyeluruh dijalankan PDRM berhubung kejadian berkenaan, termasuk penelitian terhadap keterangan diperoleh serta pematuhan kepada arahan dan keperluan lanjut AGC.








