KUALA LUMPUR: Malaysia ialah antara negara berpotensi menjadi sasaran serangan siber, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan walaupun tidak semua maklumat boleh didedahkan, kekuatan digital negara dan pendirian Malaysia terhadap beberapa isu tertentu menyebabkan negara ini menjadi perhatian.
"Ada dua perkara. Pertama, kerana kekuatan kita dalam bidang digital dan pusat data adalah antara yang terkuat. Berdasarkan angka terkini dua minggu lalu, kekuatan kita mampu menyaingi Eropah.
"Kedua, kerana pendirian tegas kita terhadap beberapa isu yang dianggap kontroversi oleh sesetengah negara, khususnya Eropah dan Amerika, terutama berkaitan Palestin serta Gaza," katanya ketika membaca kenyataan rasmi negara di Dewan Rakyat, hari ini.






