KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan negara bagi menghadapi ancaman siber global dan ketegangan geopolitik antarabangsa yang semakin meningkat, termasuk memastikan bekalan makanan, air serta tenaga mencukupi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam membincangkan mekanisme sedia ada, memperketat penyelarasan antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan serta memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, susulan mesyuarat itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan mempengerusikan mesyuarat bersama semua jabatan berkaitan petang ini, manakala Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan sesi khas bersama semua institusi kewangan dalam negara.