MUKAH: Seorang wanita warga emas diugut bunuh oleh adiknya bersama isteri selepas menegur pasangan itu supaya berhenti minum tuak (air tapai) di sebuah rumah panjang di Sungai Sepudun, Balingian, di sini semalam.
Kejadian kira-kira 10.30 pagi itu apabila kedua-dua suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk datang ke rumah wanita berusia 69 tahun itu sebelum tercetus pertengkaran.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias, berkata pertengkaran berlaku selepas wanita itu menegur adik lelaki dan adik ipar perempuannya supaya berhenti minum tuak.
Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian mengeluarkan kata-kata ugutan untuk membunuh wanita itu dan suaminya.









