KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya mengurangkan kerugian negara daripada RM8 bilion kepada RM3 bilion menerusi perjanjian penyaluran semula pinjaman RM5 bilion bersama Export-Import Bank of China (CEXIM).
Pengurangan itu dicapai hasil rundingan semula projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perjanjian itu dimeterai pada 30 Oktober lalu antara Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dan CEXIM, sekali gus membolehkan nilai pinjaman berkenaan digunakan untuk membiayai Skim Bekalan Air Perak Utara-Pulau Pinang (NPWSS).
Beliau berkata, tanpa perjanjian itu, kerajaan bakal menanggung kerugian sehingga RM8 bilion berikutan obligasi membayar balik pinjaman bagi projek MPP dan TSGP yang tidak disiapkan serta tidak memberikan sebarang manfaat.









