KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya mengurangkan kerugian negara daripada RM8 bilion kepada RM3 bilion menerusi perjanjian penyaluran semula pinjaman RM5 bilion bersama Export-Import Bank of China (CEXIM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan itu dicapai hasil rundingan semula membabitkan projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP).

Beliau berkata, perjanjian antara Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER) dengan CEXIM yang dimeterai pada 30 Oktober lalu membolehkan pinjaman berkenaan disalurkan semula bagi membiayai Skim Bekalan Air Perak Utara-Pulau Pinang (NPWSS).

Katanya, tanpa perjanjian itu, kerajaan perlu menanggung kerugian sehingga RM8 bilion berikutan obligasi membayar balik pinjaman bagi projek MPP dan TSGP yang tidak disiapkan serta tidak memberikan sebarang manfaat.