Kuala Lumpur: Konflik berterusan di Asia Barat tidak memberi kesan besar terhadap operasi kebanyakan agensi pengendali umrah di negara ini dengan kerugian dialami dilaporkan minimum dan masih terkawal.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata kebanyakan agensi sudah mengambil langkah berjaga-jaga sejak konflik mula tercetus, termasuk menangguhkan perjalanan serta menasihatkan jemaah supaya tidak berlepas buat sementara waktu.
Beliau berkata, kerugian ditanggung pengendali umrah lebih tertumpu kepada agensi besar yang membuat tempahan awal atau menyewa hotel di Arab Saudi bagi menampung jumlah jemaah yang ramai.
Namun, katanya, agensi bersaiz sederhana dan kecil lazimnya membuat tempahan hotel apabila perjalanan semakin hampir, sekali gus mengurangkan risiko kerugian sekiranya berlaku pembatalan atau penangguhan.









