Kuala Lumpur: Suasana sekitar Pasar Raja Bot di Chow Kit, di sini, yang menjadi tumpuan warga asing terutama dari Indonesia bertukar kecoh apabila kira-kira 200 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) mengepung kawasan itu.
Timbalan Pengarah (Operasi) JIM Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, serbuan Ops Mega Bersepadu itu bermula pada 9.40 pagi menyaksikan 181 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan.
Menurutnya, lokasi itu dikenal pasti sebagai antara 224 kawasan panas di seluruh negara yang menjadi tumpuan PATI terutama dari Indonesia.
Katanya, warga asing yang ditahan itu membabitkan 106 lelaki, 41 wanita serta kanak-kanak warga Indonesia, lelaki Bangladesh (20), lelaki India (3), lelaki Nepal (5), lelaki Pakistan (1) dan empat dewasa serta seorang kanak-kanak daripada lain-lain kewarganegaraan.










