HOKKAIDO – Sebuah kereta api menuju bandar Wakkanai di utara wilayah Hokkaido tergelincir selepas melanggar seekor beruang lewat semalam, demikian menurut pengendalinya seperti laporan agensi berita Kyodo News.
Tiada kru atau 32 penumpang yang cedera, namun mereka terkandas selama tujuh jam ekoran kemalangan tersebut.
Kereta api ekspres Sarobetsu empat gerabak itu tergelincir selepas pelanggaran berlaku sekitar pukul 10.50 malam (waktu tempatan) di antara stesen Teshio-Nakagawa dan Toikambetsu, demikian menurut syarikat kereta api JR Hokkaido.
JR Hokkaido membatalkan semua perkhidmatannya di bahagian 130 kilometer antara Wakkanai dan Otoineppu hari ini, manakala penumpang kereta api diangkut dengan teksi dari lokasi perlanggaran.










