SEPANG – Pelumba pasukan KTM, Pedro Acosta mendapat suntikan semangat menjelang perlumbaan sebenar Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) esok selepas memenangi aksi pecut sebentar tadi.

Bermula di petak ketiga, Acosta lebih banyak ‘memerhati’ di bahagian belakang untuk sebahagian besar perlumbaan sebelum mula melakukan tekanan ke atas Ai Ogura dari pasukan Trackhouse pada penghujung saingan.

Meskipun hujan mulai turun ketika perlumbaan berbaki lima pusingan, namun Acosta berjaya mengekalkan fokus sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang menerusi catatan masa 20 minit 04.09 saat (s).

Acosta berkata, walaupun cuaca semasa perlumbaan berubah-ubah, namun dia terpaksa mengambil risiko untuk memanfaatkan peluang selepas pendahulu perlumbaan dari pasukan Gresini Racing, Alex Marquez terjatuh ketika pusingan ketiga.