PETALING JAYA – Kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 bagi memperketat kawal selia industri kurier serta meningkatkan keselamatan dan perlindungan pengguna.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, susulan cadangan itu, kerajaan turut merancang mewartakan Kaedah-kaedah Perkhidmatan Pos (Keselamatan Perkhidmatan Pos dan Barang Pos yang Dilarang) 2026 (PSR2026).

Bagaimanapun kata MCMC, ia tertakluk kepada proses kelulusan berkaitan.

“Langkah ini bertujuan bagi memperkukuh keselamatan, akauntabiliti industri dan perlindungan pengguna, seiring perkembangan pesat e-dagang,” katanya.