DEMOKRASI matang tidak hanya diukur melalui pilihan raya berkala atau kebebasan rakyat memilih kerajaan. Sebaliknya, kekuatan sesebuah negara turut bergantung pada keupayaan institusinya berfungsi secara bebas, profesional dan bertanggungjawab.
Ia termasuk memastikan kuasa kerajaan sentiasa tertakluk pada undang-undang serta pengawasan sewajarnya berpandukan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam konteks ini, pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) pada 1 Oktober 2026 menjadi perkembangan penting dalam agenda reformasi institusi negara.
Bagaimanapun, maksud dan tujuan sebenar akta ini masih kurang difahami sebahagian masyarakat, malah terdapat perbincangan di media sosial mengelirukan sehingga menimbulkan tanggapan kerajaan cuba mengawal Parlimen melalui kuasa Eksekutif.








