BAGAN SERAI: Bantuan RM100 sebulan menerusi Kad Perak Sejahtera membantu golongan asnaf dan kumpulan sasar mengurangkan perbelanjaan makanan asas, sekali gus membolehkan mereka menggunakan pendapatan sendiri untuk keperluan lain.
Bagi ibu tunggal yang juga pembuat kerepek, Norimah Amir Husin, 54, bantuan yang diterimanya sejak tiga hingga empat tahun lalu banyak membantu mengurangkan wang sendiri untuk membeli barangan keperluan rumah.
“Bantuan RM100 sebulan itu memang membantu. Kami boleh membeli barang keperluan asas, sekali gus mengurangkan perbelanjaan daripada duit sendiri,” katanya.
Kelegaan sama dirasai seorang lagi ibu tunggal, Roziah Saleh, 58, yang sudah 27 tahun mencari rezeki sebagai tukang jahit selain membuat kuih untuk dijual sebagai pendapatan sampingan.








