KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 melakar pencapaian bersejarah dalam agenda reformasi Parlimen Malaysia, sekali gus membuktikan kematangan sistem politik dan demokrasi di negara ini.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reformasi berkenaan mengembalikan autonomi pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan hal ehwal dalaman institusi legislatif negara.Menurut beliau, peralihan itu bertujuan untuk memperkasakan peranan Parlimen sebagai institusi perwakilan rakyat yang utama dan lebih bebas."Hari ini tentunya kita melakar satu sejarah penting bukan sahaja memaknai reformasi Parlimen tetapi memaknai kebebasan dan kematangan sistem demokrasi Parlimen."Kejayaan ini tentunya terletak kepada kewibawaan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Kesediaan ahli-ahli Parlimen yang kerajaan dan juga pembangkang yang berhasrat menjayakan proses ini."Tentunya harapan dengan kebebasan bidang kuasa Parlimen ini berupaya mengangkat keupayaan kakitangan sendiri dan tahap profesionalisme. Kita juga harap peningkatan mutu perbahasan dan adab dalam perbahasan seiring dengan bidang kuasa baharu ini," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peralihan Pentadbiran dan Reformasi Institusi Parlimen di Parlimen di sini pada Rabu.Dewan Rakyat sebelum itu bersetuju melantik empat ahli Parlimen masing-masing dua daripada kerajaan dan pembangkang menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.Anwar berkata, cadangan pelantikan itu dipersetujui Jawatankuasa Pemilih pada 13 Oktober lalu.Menurut beliau, mereka yang dilantik ialah Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Ram Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran).Sementara itu, Anwar dalam masa sama berkata, pengembalian Perkhidmatan Parlimen wajar dilihat dalam kerangka pembaruan institusi negara yang lebih luas dan bukannya satu titik akhir semata-mata.Ujarnya, reformasi berkenaan mampu membina Parlimen ke arah lebih berwibawa menerusi peranan semak dan imbang yang lebih berkesan serta demokrasi lebih matang.