KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen dilantik menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen selepas Dewan Rakyat meluluskan usul yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Mereka ialah Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

Anwar berkata, Jawatankuasa Pemilih yang bermesyuarat pada 13 Oktober bersetuju mencalonkan empat Ahli Parlimen berkenaan mengikut Seksyen 3(2)(f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, yang memperuntukkan dua Ahli Parlimen kerajaan dan dua Ahli Parlimen pembangkang menganggotai majlis itu.

Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 serta pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu bagi memperkukuh autonomi institusi Parlimen.