Beijing: Polis di barat daya China menafikan khabar angin mengenai penemuan kubur seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di atas bumbung sebuah bangunan kediaman selepas pemeriksaan mendapati tulang yang ditemukan sebenarnya milik haiwan, lapor South China Morning Post.
Pada 5 Oktober lalu, seorang wanita, Li dari Chengdu, wilayah Sichuan, memberitahu media tempatan bahawa dia menemukan sesuatu yang kelihatan seperti kubur di atas bumbung yang terletak di atas unit kediamannya.
Difahamkan, Li membeli rumah itu di tingkat tujuh itu pada 2017 dan menyewakannya sejak itu.
Seorang jiran, Liu, 73, kemudian memberitahunya bahawa bumbung berkenaan ialah lokasi pengebumian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang pernah tinggal di bangunan itu sebelum meninggal dunia akibat penyakit pada September 2009.









