KUALA LUMPUR: Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hitman Group yang juga penganjur konsert dari Hitman Solutions, Rohit Rampal, menyambut baik pengecualian duti hiburan bagi aktiviti kesenian, kebudayaan, hiburan yang diadakan di Stadium Merdeka dan Stadium Negara yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, baru-baru ini.
Menurut Rohit, dia melihat inisiatif berkenaan sebagai satu langkah positif untuk terus menyemarakkan pertumbuhan industri seni tempatan.
"Sebagai penganjur konsert, saya melihat inisiatif ini sebagai satu perkembangan positif yang dapat menggalakkan pertumbuhan industri seni dan hiburan tempatan," katanya kepada Harian Metro.
Rohit berkata, langkah berkenaan turut membuka lebih banyak ruang buat pihak penganjur merancang pelbagai acara tempatan pada tahun hadapan, termasuklah meneroka peluang kerjasama strategik dengan lokasi milik kerajaan.








