BATU PAHAT: "Sebaik tiba di tempat kejadian, saya nampak kereta 'tersandar' pada pokok dan beberapa mangsa tercampak dalam parit," kata penduduk, Salleh Ismail, 43, susulan kemalangan yang mengorbankan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, malam tadi.
Menurut Salleh, dia bersama beberapa penduduk setempat bergegas ke lokasi sebaik mendapat tahu mengenai kemalangan itu.
"Apabila tiba, saya melihat dua mangsa tercampak ke dalam parit. Kemudian, seorang kanak-kanak dikatakan tercampak keluar dan ditemukan di bawah pokok.
"Keseluruhannya lima daripada mangsa kemalangan dilaporkan tercampak, manakala seorang lagi tersepit di tempat duduk pemandu. Tidak lama kemudian, pasukan bomba tiba untuk membantu menyelamatkan mangsa.








