KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional dijangka mengekalkan momentum jualan sepanjang tahun ini, disokong oleh kedudukan PERODUA yang kukuh dalam segmen kenderaan mampu milik dan pertumbuhan jualan yang baik daripada PROTON, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
PERODUA dan PROTON menguasai gabungan bahagian pasaran sebanyak 66.3 peratus dalam tempoh Januari hingga September, meningkat daripada 62.1 peratus pada 2025.
PERODUA mencatatkan jualan sebanyak 247,400 unit dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, menurun sebanyak tiga peratus berbanding tahun sebelumnya, tetapi berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dengan penguasaan sebanyak 40.9 peratus.
Sementara itu, PROTON mencatatkan jualan sebanyak 153,300 unit, meningkat 39.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh barisan model baharu dan harga yang kompetitif.










