Kuala Lumpur: Bahang panas yang menyelubungi Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) hari ini bukan sekadar menguji ketahanan fizikal, malah turut memberi cabaran tambahan kepada pemain golf negara, Mirabel Ting pada pusingan ketiga Maybank Championship 2026.

Mirabel muncul pemain terbaik negara selepas tamat aksi tiga pusingan, mengakui keadaan cuaca jauh lebih panas berbanding dua hari sebelumnya, sekali gus memaksanya memastikan pengambilan air mencukupi sepanjang mengharungi 18 lubang di KLGCC.

Malah, pemain berusia 20 tahun itu berseloroh dia dan rakan seperjuangannya, Michelle Koh yang bertindak sebagai kedi, mungkin menghabiskan kira-kira 20 botol air sepanjang pusingan ketiga bagi memastikan badan kekal terhidrat.