SHAH ALAM - Kesibukan menjalani penggambaran tidak menghalang pelakon veteran, Zulkifli Ismail memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00 bagi pengajian Sarjana Pengajian Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).Kejayaan itu dikongsikan Zulkifli menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Sabtu sekali gus membuktikan kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu meskipun sudah lebih empat dekad bergelar anak seni."Alhamdulillah. Selesai dengan selesa. Dalam kesibukan menjalani penggambaran dan sedikit gangguan kesihatan, saya berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Persembahan di UPSI."Insya-ALLAH konvo (konvokesyen) pada penghujung November," katanya.Perkongsian itu turut mendapat perhatian peminat yang menganggap pencapaian berkenaan sebagai inspirasi khususnya kepada golongan yang mahu menyambung pengajian meskipun sudah berusia dan mempunyai komitmen kerjaya.Zulkifli sebelum ini memaklumkan hasrat menyambung pengajian di UPSI dalam bidang Sarjana Pengajian Persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan pada April 2025.Pelakon tersebut bukan nama asing dalam industri hiburan tanah air apabila terkenal menerusi watak ASP Razlan dalam drama bersiri kepolisan popular, Gerak Khas.Watak berkenaan menjadi antara karakter yang sinonim dengan beliau sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan sejak 1980-an.Selain Gerak Khas, Zulkifli turut membintangi beberapa drama popular termasuk 7 Hari Mencintaiku, Andai Itu Takdirnya dan terbaharu Yes! Kapten Zul Aaryan.Di layar perak, beliau turut mencipta nama menerusi filem seperti Maria Mariana II, GK3 The Movie, Haq, Lagenda Budak Setan 2: Katerina dan Anwar: The Untold Story.Pengalaman luas dalam industri seni itu menjadikan Zulkifli antara pelakon veteran yang terus mendapat kepercayaan pengarah untuk menjayakan pelbagai watak dalam drama dan filem tempatan.