Johor Bahru: Sebuah syarikat kerugian hampir setengah juta ringgit selepas seorang pekerja terpedaya dengan helah penjenayah siber yang menyamar sebagai majikannya sebelum memindahkan wang syarikat berkenaan ke akaun pihak ketiga.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian daripada pekerja wanita berusia 35 tahun pada semalam.

Menurutnya, mangsa menerima pesanan ringkas daripada nombor telefon daripada suspek yang menyamar sebagai majikannya pada 10 pagi.

Katanya, mangsa diarahkan memindahkan wang syarikat berjumlah RM486,000 ke akaun suspek bagi tujuan pembayaran kontrak baharu.