KUALA LUMPUR: Papan iklan digital di tempat awam berisiko tinggi menjadi sasaran penggodam sekiranya pengendali terus memandang remeh aspek asas keselamatan siber seperti kawalan akses dan kemas kini sistem.
Pakar keselamatan siber dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, berkata papan iklan digital bukan sekadar peranti paparan, sebaliknya merangkumi komputer, perisian, rangkaian komunikasi dan sistem pengurusan kandungan yang perlu dilindungi daripada ancaman siber.
Beliau berkata, kelemahan pada mana-mana komponen terbabit boleh dieksploitasi penggodam untuk mengambil alih sistem dan memanipulasi kandungan yang dipaparkan kepada orang awam.








