SEPANG: Petak ketiga yang diraih pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli pada Grand Prix (GP) Malaysia hari ini cukup bermakna buat dirinya selepas mengharungi beberapa detik sukar sebelum ini.
Hakim Danish berkata, kedudukan di barisan hadapan itu amat penting bagi membolehkannya bersaing dalam kelompok depan dan mengekori rapat pelumba terpantas pada perlumbaan sebenar, esok.
Pada sesi Kelayakan 2 (Q2) hari ini, Hakim Danish mencatat masa sepusingan terpantas dua minit 10.529 saat (s).
Sesi itu dikuasai juara dunia, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team dengan catatan 2:10.396s, manakala Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo) menduduki tempat kedua, ketinggalan 0.084s di belakang Quiles.










