SHAH ALAM - Penyatuan UMNO, Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diyakini membawa nikmat kepada usaha memperkukuh penyatuan ummah.Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penyatuan itu dizahirkan oleh ketiga-tiga parti berkenaan dengan menghayati doa mengenai penyatuan ummah."Alhamdulillah. Hari ini menjadi saksi kepada penyatuan yang kita semua dambakan. Saya yakin, insya-ALLAH nikmatnya akan dikecapi dalam PRN Melaka ini."Lebih menyentuh hati, bacaan doa yang dipimpin Pesuruhjaya Pas Melaka merangkap Ahli Parlimen Jasin, Datuk Zulkifli Ismail yang intipatinya mengenai penyatuan, dihayati dan diaminkan oleh semua (UMNO, Pas dan Wawasan)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.Menurut Hamzah, kemanisan awal hasil penyatuan itu telah dirasai di Negeri Sembilan dan jalinan kerjasama berkenaan sedang diperkukuh.Beliau berkata, tiada istilah terlambat untuk melakukan kebaikan, khususnya dalam usaha ke arah penyatuan ummah."Inilah Gelombang Biru Perikatan Nasional dan Barisan Nasional. Kemanisan awal sudah kita rasai di Negeri Sembilan, kini jalinan murni ini sedang kita perkukuhkan."Tugas kita berusaha dengan betul dan bersungguh-sungguh. Wawasan telah bertindak sebagai jambatan dan kini, tangan kita saling mengenggam antara satu sama lain."Insya-ALLAH akan memberikan sebaik-baik ganjaran ke atas usaha kita semua ini," katanya.