KOTA BHARU: Malaysia tidak akan menjadi miskin atau muflis hanya kerana kerajaan membelanjakan berbilion ringgit untuk membantu golongan miskin dan rakyat kurang berkemampuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejarah membuktikan tiada negara menjadi muflis kerana membantu rakyat susah, sebaliknya kerosakan negara berpunca daripada salah laku pemimpin, kelemahan tatakelola dan kerakusan mengaut kekayaan bukan hak mereka.

Beliau berkata, kerajaan membuktikan komitmen membantu rakyat apabila memperuntukkan RM34 bilion tahun ini bagi peningkatan gaji minimum penjawat awam serta bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Kerajaan menanggung kos RM18 bilion bagi kenaikan gaji minimum penjawat awam sebanyak 15 peratus, manakala RM16 bilion lagi diperuntukkan untuk SARA dan STR.