MELAKA - Kepelbagaian warisan budaya serantau menjadi tumpuan apabila enam negara berhimpun menerusi Festival Pertukaran Budaya: Meraikan Warisan Silang Budaya 2026 yang berlangsung di Muzium Istana Kesultanan Melaka, bermula hari ini hingga 1 November.Festival yang melibatkan Malaysia, Brunei, China, Indonesia, Singapura dan Thailand itu membuka peluang kepada orang ramai untuk mengenali keunikan tradisi, seni serta amalan warisan yang menjadi identiti masyarakat di negara masing-masing.Berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam, festival berkenaan menawarkan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran pertukaran budaya, persembahan kebudayaan, perarakan warisan, pertandingan kebudayaan, demonstrasi seni dan kraf serta bazar makanan warisan dan kraf.Pengunjung turut berpeluang mendekati kepelbagaian budaya menerusi perkongsian pengetahuan dan aktiviti yang mengetengahkan tradisi masyarakat, sekali gus memberikan pengalaman mengenali budaya negara peserta dalam suasana lebih dekat dan interaktif.Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara merangkap Pesuruhjaya Warisan, Mohamad Muda Bahadin berkata, penyertaan negara-negara yang mempunyai pencalonan bersama warisan budaya tidak ketara dengan Malaysia menyediakan ruang untuk berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan mengenai usaha pemeliharaan warisan."Penglibatan negara-negara ini membuka peluang kepada kita untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan mengenai usaha memelihara warisan budaya tidak ketara," katanya.Antara warisan yang menghubungkan negara-negara berkenaan termasuk Wangkang yang melibatkan Malaysia dan China, selain pantun yang dikongsi Malaysia, Indonesia dan Brunei.Seni persembahan dan tradisi seperti tarian singa serta Chingay turut memperlihatkan bagaimana warisan budaya berkembang merentasi sempadan negara, di samping mengekalkan nilai dan identiti masyarakat yang mewarisinya.Pemilihan Melaka sebagai lokasi penganjuran turut memberikan nilai tersendiri memandangkan negeri bersejarah itu kaya dengan peninggalan sejarah serta kepelbagaian pengaruh budaya hasil hubungan masyarakat sejak sekian lama.Selain pameran dan persembahan, pembentangan kertas kerja serta bengkel turut diadakan bagi membuka ruang perbincangan mengenai pendekatan melindungi dan melestarikan warisan budaya tidak ketara.Usaha mendekatkan warisan kepada golongan muda juga penting bagi memastikan tradisi bukan sekadar dikenang, sebaliknya terus difahami dan diwarisi oleh generasi seterusnya.