PETALING JAYA: Pengorbanan, ketabahan dan semangat juang tinggi atlet para negara membuahkan hasil apabila kontinjen Malaysia mencapai sasaran enam pingat emas pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, menyifatkan pencapaian enam emas, lapan perak dan 13 gangsa itu sebagai sesuatu yang membanggakan, sekali gus membuktikan kesungguhan atlet negara dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Katanya, pengalaman menyaksikan sendiri perjuangan atlet sepanjang temasya itu membuka matanya terhadap pengorbanan besar yang dilakukan demi mencapai kejayaan.
“Saya cukup bangga. Wira wirawati para negara menutup kempen Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan enam emas, lapan perak dan 13 gangsa; sasaran enam pingat emas berjaya dicapai,” katanya menerusi hantaran di media sosial miliknya.







