KUALA LUMPUR: MegaJamz Lenggong Music Festival 2026 menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung bagi menyaksikan persembahan serentak 500 pemuzik dan penyanyi di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak pada 29 November ini.

Pengerusi Majlis Pelancongan Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, festival itu menjadi antara tarikan utama Lenggong International Dialogue 2026 yang berlangsung dari 24 hingga 29 November ini.

Menurutnya, persembahan yang menghimpunkan pemuzik daripada pelbagai latar belakang itu bertujuan mempromosikan Lenggong sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan, kebudayaan dan keindahan alam semula jadi.

“Kita bukan sekadar mahu mempersembahkan muzik tetapi mahu mengetengahkan keindahan, kecantikan dan keunikan Lenggong supaya destinasi ini lebih dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang media MegaJamz Lenggong Musik Festival di Hard Rock Cafe di sini , hari ini.