JAKARTA – Misteri kehilangan seorang wanita dan anak lelakinya yang berasal dari Bogor, wilayah Jawa Barat sejak bulan lalu akhirnya terjawab dengan penemuan menyayat hati apabila kedua-duanya dipercayai dibunuh dengan kejam oleh suami mangsa sendiri, lapor laman berita Kumparan.
Mangsa dikenali sebagai Dini Hardiyanti, 30, dan anak lelakinya berumur empat tahun, dilaporkan hilang oleh ahli keluarga sejak 20 September lalu selepas mereka gagal dihubungi.
Pengarah Siasatan Jenayah Polis Daerah Jawa Timur, Pesuruhjaya Kanan Roy H. M. Sihombing berkata, suspek yang dikenali sebagai Dwi Bagus Martono ditahan semalam.
Menurut Roy, siasatan awal mendapati jenayah tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek di sebuah bilik hotel di Madiun.









