IPOH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan kewangan kepada dua wartawan wanita yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Kledang Permai, Menglembu, di sini, semalam.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Akhbar beliau, Shuhaimi Mohamed ketika menziarahi wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37, di Medan Klebang Harmoni 2, Chemor dan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur Afiradina Arshad, 34, di Semenyih, Selangor.
Shuhaimi berkata, Ahmad Zahid mendoakan agar kedua-dua wartawan berkenaan segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri itu juga bersedia mempertimbangkan bantuan lanjut sekiranya diperlukan bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.









