ISKANDAR PUTERI – Kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang seimbang dalam semua aspek permainan membuatkan Port FC mengakui bukan mudah untuk menjinakkan Harimau Selatan dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), esok.
Ketua jurulatih Port FC, Bozidar Bandovic berkata, JDT memiliki barisan pemain berkualiti selain cukup tersusun ketika menyerang dan bertahan selain kemampuan Harimau Selatan mengawal permainan serta melakukan transisi pantas turut menjadi ancaman besar buat pasukannya.
“Ini akan menjadi perlawanan sukar buat kami. Kami menentang pasukan yang sangat bagus dan teratur dalam serangan serta pertahanan.
“Bagaimanapun, kami akan memberikan segala-galanya di atas padang. Kami mahu bersaing dan cuba meraih kemenangan atau sekurang-kurangnya mendapatkan mata,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.









