ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan mendabik dada selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Pohang Steelers, sebaliknya berwaspada ancaman kelab Thailand, Port FC dalam saingan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini esok.
Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz mengingatkan anak buahnya agar kekal fokus dan tidak memandang rendah keupayaan lawan biarpun skuad The Lions of Klong Toei itu mengalami kekalahan dalam dua perlawanan terakhir mereka.
Menurut Munoz, saingan di peringkat tertinggi Asia sentiasa menjanjikan cabaran berbeza kerana setiap perlawanan ditentukan perincian kecil yang dilakukan kedua-dua pasukan.
“Paling penting adalah untuk kita kekal dalam momentum positif. Namun, kita perlu faham setiap perlawanan di ACLE adalah seperti aksi final. Lawan kita ketika ini menduduki tangga teratas Liga Thailand dan ia bukannya satu tugas mudah.








