KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang pengguna media sosial menerbitkan permohonan maaf kepada usahawan fesyen, Christy Ng dalam dua akhbar dalam tempoh empat hari bekerja.

Hakim Arziah Mohamed Apandi membuat perintah itu ketika mendengar permohonan komital oleh Christy selaku plaintif terhadap defendan, J Vikneshvra Rau, 36, yang didakwa gagal mematuhi perintah mahkamah sebelum ini.

Pada 13 Februari lalu, mahkamah membenarkan saman sivil difailkan Christy dan memerintahkan Vikneshvra menerbitkan permohonan maaf terbuka tanpa syarat sepanjang satu muka surat penuh dalam akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris yang dipilih Christy.

Saman itu berkaitan kenyataan didakwa memfitnah Christy dan diterbitkan Vikneshvra menerusi akaun Threads miliknya.