KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, tetapi mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama dan ASEAN.
Penganalisis berkata, pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed).
Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.0855/0895 berbanding dolar AS daripada 4.0835/0875 ketika ditutup Jumaat lalu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pendirian keras Presiden AS, Donald Trump, terhadap Iran turut meningkatkan kemungkinan harga minyak mentah naik.










