KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin akibat aktiviti jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih, terutama sektor utiliti dan perbankan, selain dipengaruhi prestasi pasaran serantau yang lemah.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.20 mata, atau 0.45 peratus, kepada 1,604.36 daripada 1,611.56 ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.44 mata lebih tinggi pada 1,612.00, yang juga paras tertinggi intrahari, sebelum merosot ke paras terendah 1,600.45 pada sesi dagangan lewat petang.
Bagaimanapun, sentimen pasaran secara keseluruhan kekal agak positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 549 berbanding 514.









