JAKARTA: Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia (OJK) melanjutkan dasar yang membenarkan syarikat tersenarai membeli balik saham sendiri tanpa kelulusan pemegang saham sehingga Jun 2027.
OJK berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh kestabilan pasaran susulan penyusutan ketara pasaran saham akibat kegiatan penjualan besar-besaran.
Ketua Eksekutif Penyeliaan Pasaran Modal, Derivatif Kewangan dan Bursa Karbon OJK, Hasan Fawzi, berkata pelanjutan dasar mulai Disember 2026 itu dibuat susulan permintaan syarikat tersenarai.
Menurutnya, syarikat mahukan kepastian lebih jelas mengenai tempoh pelaksanaan dasar berkenaan, manakala sebahagian lagi berpandangan harga saham semasa sesuai untuk urus niaga pembelian balik.









