SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli semakin yakin dengan prestasinya selepas kembali menemui rentak bersama jentera, sekali gus memasang impian untuk memburu petak hadapan pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, hari ini.
Pelumba berusia 19 tahun yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat masa keempat terpantas pada sesi latihan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Malah, Hakim Danish tidak berselindung meletakkan sasaran untuk merebut petak pertama (pole position), namun mengakui perlu terus bekerja keras sekiranya sasaran itu tidak kesampaian.
“Untuk petak hadapan, saya cuba menyasarkan untuk mendapatkan pole position (petak pertama). Namun, kalau tiada rezeki, saya akan terus bekerja keras,” katanya selepas sesi latihan di SIC, semalam.





