Kuala Lumpur: Bermula dari petak ke-23, pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berdepan misi sukar untuk mencipta impak pada perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Australia selepas gagal melepasi pusingan kelayakan pertama (Q1) di Litar Phillip Island, hari ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencatat masa terpantasnya sepanjang hujung minggu dengan 1 minit 37.169 saat, namun hanya menduduki tempat kesembilan Q1, sekali gus terlepas peluang merebut tiket ke pusingan kelayakan kedua (Q2).

Walaupun memperbaiki catatan masa sesi latihan Jumaat sebanyak 0.605 saat, peningkatan itu masih belum mencukupi buat pelumba berusia 19 tahun berkenaan untuk menembusi kelompok empat terbaik yang layak ke Q2.