Alor Gajah: Berbeza warna dan lambang parti, namun penyokong Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan BERSAMA memilih gerai sama untuk bersarapan sebelum proses penamaan calon di Kompleks Japerun Machap Jaya, di sini, pagi ini.

Penyokong parti mula hadir seawal 7.30 pagi dengan ada antaranya singgah bersarapan di gerai berhampiran sebelum berkumpul di hadapan pusat penamaan calon.

Penyokong PH mengenakan pakaian merah, BN dengan warna biru, manakala penyokong BERSAMA yang berbaju kuning dilihat berada di gerai berkenaan, mengambil kesempatan untuk mengisi perut. Hadir sama adalah penyokong PN.

Pekarangan Kompleks Japerun turut meriah dengan kehadiran konvoi kereta yang membawa bendera kuning sebagai tanda sokongan kepada BERSAMA.