Alor Gajah: Berbeza warna dan lambang parti, namun penyokong Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan BERSAMA memilih gerai sama untuk bersarapan sebelum proses penamaan calon di Kompleks Japerun Machap Jaya, di sini, pagi ini.

Penyokong parti mula hadir di kawasan berkenaan seawal jam 7.30 pagi, dengan ada antaranya singgah bersarapan di gerai berhampiran sebelum berkumpul di hadapan pusat penamaan calon.

Penyokong PH yang mengenakan pakaian merah, BN dengan biru, manakala Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) berbaju kuning dilihat berada di gerai berkenaan, selain penyokong PN yang turut mengambil kesempatan mengisi perut sebelum memulakan sesi penamaan calon.

Suasana turut diserikan dengan kehadiran konvoi kereta yang membawa bendera kuning sebagai tanda sokongan kepada BERSAMA.