Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brandon Carolan mahu anak buahnya memberikan cabaran sengit kepada juara bertahan, India apabila kedua-dua pasukan bertemu pada saingan Trofi Juara-Juara Asia, esok.
Carolan mengakui India bukan lawan mudah memandangkan mereka kini berada di ranking kelapan dunia, namun menegaskan Malaysia perlu terus memperbaiki prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
"Sudah tentu India adalah pasukan yang bagus. Mereka berada di ranking kelapan dunia, jadi kami perlu menjadi lebih baik dan terus meningkatkan prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
"Apa yang boleh kami lakukan adalah memberikan tumpuan kepada perkara yang mampu dikawal oleh pasukan sendiri dan memastikan kami benar-benar bersedia untuk menghadapi cabaran itu," katanya.









