WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, merancang menghantar pulang lebih 150 migran Afghanistan ke negara asal mereka.

Antaranya termasuk individu yang melarikan diri selepas Taliban mengambil alih kuasa pada 2021.

Rancangan itu didedahkan seorang pegawai AS serta gabungan bekas anggota tentera dan kumpulan advokasi yang memperjuangkan kebajikan rakyat Afghanistan di negara itu.

Ketua #AfghanEvac, Shawn VanDiver, semalam berkata kebanyakan individu yang berdepan tindakan pengusiran itu melarikan diri dari Afghanistan susulan pengambilalihan kuasa oleh Taliban dan pengunduran tentera AS pada 2021.