Kuala Lumpur: Tekanan ekonomi dan ketidakupayaan mengawal emosi antara faktor mendorong berlakunya penderaan fizikal, seksual serta emosi terhadap kanak-kanak di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penderaan juga boleh berlaku apabila individu dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang menganggap kekasaran sebagai perkara biasa sehingga tingkah laku itu menjadi sebahagian daripada kebiasaan hidup mereka.
"Ini membuatkan mereka tidak menyedari bahawa tindakan kasar yang dilakukan sebenarnya boleh menjurus kepada penderaan.
"Punca-punca ini mendorong seseorang mencari individu lain sebagai sasaran untuk melepaskan tekanan dihadapi," katanya selepas merasmikan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2026 (PERKKS 26), di sini, hari ini.










