KUALA LUMPUR: Perbelanjaan isi rumah yang terus meningkat semakin menghakis baki pendapatan keluarga, dengan golongan berpendapatan paling rendah berdepan tekanan kewangan lebih ketara apabila wang yang tinggal selepas memenuhi keperluan penggunaan semakin menyusut.
Dapatan terbaharu Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendedahkan bahawa perbelanjaan median isi rumah meningkat kepada RM4,758 sebulan pada 2024, berkembang pada kadar tahunan terkompaun 5.3 peratus sepanjang tempoh 2022 hingga 2024.
Peningkatan itu memberi gambaran jelas mengenai tekanan perbelanjaan yang perlu ditanggung isi rumah, khususnya apabila kenaikan perbelanjaan tidak berlaku secara seimbang antara kumpulan pendapatan.








