KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi mencadangkan diadakan sesi mediasi berhubung isu penggunaan perkataan 'munafik' di Dewan Rakyat.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, beliau tidak menarik balik kenyataan itu, sebaliknya mengambil pendekatan mengemukakan cadangan mediasi untuk menyelesaikan isu berkenaan secara baik.

"Saya tidak tarik balik. Sebaliknya saya buat surat kepada Speaker dan mencadangkan Speaker supaya mengadakan mediasi.

"Mediasi ini adalah Speaker panggil saya, panggil Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer masuk dan bincang, cuba selesaikan," katanya pada sidang media selepas Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (HIMPAK) di sini, malam tadi.