Kenya: Juara maraton dunia dari Kenya, Peres Jepchirchir, digantung sementara selepas ujian sampel yang diambil sebelum kemenangannya pada Maraton Sydney mendapati dia positif bahan terlarang EPO, menurut Unit Integriti Olahraga (AIU).
AIU memaklumkan sampel yang diambil di luar pertandingan di Kenya menunjukkan keputusan analisis tidak normal bagi EPO (eritropoietin), bahan yang meningkatkan penghasilan sel darah merah.
"Saya hanya boleh mengatakan bahawa saya berasa amat teruk dengan apa yang berlaku dan saya fikir adalah wajar seseorang atlet yang menggunakan bahan peningkat prestasi dikenakan pembatalan kelayakan," kata ejennya, Gianni Demadonna, menerusi kenyataan e-mel.
Peres, 33, adalah antara pelari wanita paling berjaya dalam sukan itu. Dia memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung pada 2021, selain menjuarai beberapa maraton utama dunia di New York (2021), Boston (2022), London (2024) dan Sydney (2026). Dia juga pernah memegang rekod dunia separuh maraton.








