KOTA BHARU: Konsep penyandang menjadi asas pembahagian kerusi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pendekatan dipersetujui oleh semua parti anggota gabungan berkenaan secara umum dan turut digunakan di negeri-negeri lain sebelum ini.
“Konsepnya yang dipersetujui secara umum ialah incumbent atau penyandang. Di Kelantan, Pas dan PN memegang 42 daripada 45 kerusi, itulah penyandang.
“Sama juga dengan Terengganu, 28 kerusi adalah penyandang kepada Pas dan PN. Melaka, UMNO merupakan penyandang kerana mereka mempunyai 21 kerusi. Jadi kita kena faham macam itulah,” katanya semasa sidang media selepas program Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat Kelantan 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.








